KOTA KINABALU: Ketua Umno Bahagian Beluran, Datuk James Ratib, berkata menggesa semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri menghormati Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman sebagai pemimpin negeri ini.
Katanya, beliau (Musa) adalah Ketua Meneteri dan pemimpin Negeri yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk menerajui kepimpinan kerajaan dan BN di negeri ini.
“Semua parti komponen BN wajar menghormati beliau(Musa) dan jangan sama sekali membuat kenyataan yang kurang sopan khususnay kepada Ketua Menteri kerana ini akan menjejaskan kekuatan BN sebagai satu keluarga yang besar di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Senator Datuk Chin Su Phin dan Ketua Wanita parti itu, Nancy Lim pada persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu yang dilaporkan menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, mengundurkan diri.
James yang juga Pengerusi BN Bahagian Beluaran berkata, adalah tidak wajar untuk menggambarkan kepada rakyat seolah-olah ada kepincangan dan pergeseran di kalangan parti-parti komponen BN khususnya di Sabah.
“Jika ada rasa tidak hati mengenai sesuatu perkara atau isu, ianya hendaklah disalurkan secara sopan berdasarkan saluran dan platform yang sedia ada,” tegasnya.
James berkata, hormat-menghormati adalah lebih baik daripada mengkritik secara terbuka rakan-rakan dalam BN yang boleh menyakiti hati orang lain.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak dalam BN supaya menghayati ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa merasmikan Perhimpunan Agung LDP pada Ahad lalu.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN Pusat dalam ucapannya berkata, BN sentiasa mengambil langkah berhemah bagi memastikan sesuatu masalah yang timbul terutama melibatkan pergeseran di dalam diselesaikan segera.
Beliau menegaskan, setiap ahli komponen BN perlu mengelak daripada suka cakap belakang kerana sikap itu menjadi punca kepada kelemahan sesebuah parti.
Sementara itu, Umno Bahagian Kudat turut kecewa dan kesan dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh pemimpin LDP itu yang jelas melanggar semangat setia kawan dalam BN.
Ketuanya, Datuk Bolkiah Ismail berkata, pemimpin LDP khususnya Timbalan Presidennya, Senator Chin Su Phin telah berulang kali membuat gesaan itu dan ianya telah melukakan hati ahli-ahli Umno di negeri ini.
“Beliau (Musa) ada pemimpin Umno Sabah dan telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan negara, khususnya Perdana Menteri untuk memimpin kerajaan negeri dan BN di negeri ini, semua pihak dalam BN harus dan wajar menghormatinya,” katanya.
Menurutnya, pemimpin LDP itu harus membuka mata dengan lebih luas untuk melihat terhadap pencapaian cemerlang Musa dalam memimpin negeri ini termasuk rizab kewangan negeri yang kukuh dan juga pembangunan yang semakin pesat di seluruh negeri ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan