Selasa, 17 April 2012

RAKYAT SABAH TIDAK MUDAH TERPEDAYA:MUSA AMAN



KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata rakyat di negeri ini tidak akan terpengaruh dengan bermacam-macam dakyah berbentuk hasutan yang cuba dibawa pihak pembangkang memandangkan apa jua taktik mereka adalah gimik semata-mata untuk mengaburi mata rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan ‘Roadshow’ Yayasan Sabah (YS) Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Sri Libaran, Sandakan, petang kelmarin beliau berkata konsep turun padang yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya menepis segala dakyah membolehkan rakyat memahami perjuangan sebenar BN yang membela nasib rakyat pelbagai kaum dan anutan agama di negeri ini.

Katanya, rakyat sudah matang dan mereka tahu parti mana yang mampu memberikan pembangunan serta kestabilan politik jika dibandingkan dengan pembangkang yang suka menjanjikan bulan dan bintang.

“Kita akan meneruskan konsep turun padang bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan tambahan pula menjadi tangungjawab bagi pemimpin BN untuk mengatasi masalah rakyat,” jelasnya.

Musa yang juga merupakan Menteri Kewangan Negeri mengakui meski pun ada projek pembangunan yang belum terlaksana tetapi kerajaan akan berusaha untuk mengatasi secepat yang boleh.

Pun begitu, ujarnya, pembangunan dibawa BN telah memanfaatkan semua kaum apatah lagi kerajaan juga menitikberatkan aspek pendidikan.

Mengenai majlis itu, ‘Roadshow’ kelolaan YS itu merupakan pendekatan terbaik dalam usaha kerajaan khususnya agensi-agensi kerajaan yang terlibat bertemu rakyat sekali gus memahami apa jua fungsi dan kaedah untuk dimanfaatkan bersama.

“Program ‘Roadshow’ seumpama ini amat baik kepada rakyat memandangkan ia mampu memberi penerangan berkaitan perkembangan semasa selain manfaatnya,” katanya.

Dalam pada itu, Musa memaklumkan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan melawat daerah Sandakan pada 20 April depan.

Katanya, Datuk Seri Najib akan menghadiri satu majlis perjumpaan perdana bersama masyarakat di Dewan Hakka, Batu 5 dekat sini.

“Oleh itu, saya mengalu- alukan kedatangan masyara- kat Sandakan ke majlis berkenaan untuk bersama-sama Perdana Menteri kita,” beritahunya.

Sebelum itu, Musa telah menyempurkan perasmian Hari Terbuka Pusat Latihan Orang Buta di Taman Cahaya Sandakan yang diadakan di Kompleks Penyayang Taman Cahaya Kampung Muhibbah, Rancangan Sungai Manila, Batu 12.

Dalam ucapannya, beliau berkata sebagai kerajaan prihatin dan bertanggungjawab kepada semua lapisan rakyat maka nasib serta kepentingan Golongan Kurang Upaya atau OKU tidak akan diketepikan.

Sebagai bukti, katanya, pihak Kerajaan Negeri telah membina kompleks berkenaan yang bernilai RM5 juta bagi memberi pelbagai latihan kepada mereka agar mempunyai kemahiran untuk diaplikasikan bukan saja dalam kehidupan tetapi juga dalam mencari pekerjaan selepas tamat latihan. (ST)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan