Datuk Seri Anwar Ibrahim 'memusnahkan' Program Transformasi Ekonomi (ETP) Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi dengan memberikan amaran, lebih daripada 8.3 juta rakyat Malaysia akan tergolong sebagai miskin menjelang 2020 jika ETP berterusan.
Anwar menyatakan bahawa tanggapan ETP bahawa pendapatan rakyat Malaysia akan berkembang pada 3.6 peratus dan inflasi akan berada pada tahap 2.8 peratus setahun untuk satu dekad akan datang (2010-2020) adalah tidak benar sama sekali.
Ini kerana berdasarkan statistik satu dekad yang lepas (2001-2010), pendapatan rakyat Malaysia hanyalah sekadar 2.6 peratus berdasarkan data Kementerian Sumber Manusia dan inflasi adalah jauh lebih tinggi, 4.4 peratus pada 2001-2005 dan 6.6 peratus pada 2005-2009.
“Jika pendapatan turut naik pada kadar 3.6 peratus setiap tahun seperti jangkaan ETP, menjelang 2020, masih terdapat 7.6 juta orang yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 setahun,” kata Anwar dalam satu ucapan di Westin Hotel semalam bertajuk ‘Debunking ETP: Widening Income Gap’.
Analisa tersebut, kata Anwar diperkuatkan lagi dengan data daripada National Employment Return Study 2009 (Penyelidikan Guna Tenaga Kebangsaan 2009) yang melibatkan sampel 24,000 pekerja dan 1.3 juta pekerja di mana ia mendapati sebanyak 33.8 peratus pekerja mendapat gaji di bawah RM700 sebulan.
“Jika ini diekstrapolasikan di peringkat nasional, ia menjangkakan 34 peratus tenaga kerja negara kita berada di bawah paras kemiskinan (RM700),” kata beliau.
ETP sebelum ini menjangkakan bahawa lebih daripada 2.8 juta rakyat Malaysia akan mempunyai pendapatan RM4,000 sebulan menjelang 2020. Namun, kata Anwar, semua angka di atas telah membongkar dakwaan Najib bahawa Malaysia bakal menikmati jumlah pendapatan kasar berkapita (GNI) RM48,000 setahun adalah palsu.
“Jika inflasi, sebagaimana yang kita lihat pada tahun-tahun kebelakangan yang lepas, bertambah lebih daripada 2.8 peratus untuk tahun-tahun akan datang, pendapatan akan berkurangan dan sasaran GNI RM48,000 setahun hanya sekadar angka penyeri di atas risalah ETP,” kata Anwar, yang juga bekas menteri kewangan.
Mengenai tahap kemiskinan negara yang masih berada di paras RM700, Anwar berkata angka tersebut adalah ketinggalan zaman kerana rakyat kini yang berpendapatan RM1,500 sebulan sudah menghadapi kesusahan hidup yang perit.
“Rakyat Malaysia inginkan pendapatan lebih tinggi. Tapi ETP memberikan mereka nilai ekonomi yang semakin kecil. Dalam analisis terakhir, ETP hanyalah satu unjuran kepada model ekonomi yang gagal dan dicemari rasuah dan budaya cepat kaya yang mengkayakan pemerintahan dengan mengorbankan majoriti,” kata Anwar.
Anwar turut menambah ETP hanya mengkayakan golongan yang sedia kaya dan keuntungan ekonomi hanya akan menguntungkan syarikat-syarikat di bawah ETP.
“Jadi, janji ETP membawa Malaysia ke negara berpendapatan tinggi adalah palsu,” tegas Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan