Selasa, 14 Februari 2012

LOTUD AUSTRALIA


OLEH JOANES ROBERT JOHNNY

MUNGKIN kedengaran agak mustahil atau pelik, namun begitulah hakikatnya keadaan yang disifatkan sebagai ‘kejutan budaya’ yang melanda daerah Tuaran baru-baru ini.

Kehadiran tujuh wanita anggun memakai pakaian tradisi masyarakat kaum Lotud di sini, menimbulkan pelbagai reaksi berbeza daripada pengunjung Tamu Minggu di pekan Tuaran.

Mereka merupakan sebahagian daripada peserta program Global Citizen Study Tour yang dianjurkan olehDeakin University Melbourne, Australia bermula sejak 5 Februari dan dijangka selesai pada 18 Februari ini.

Menurut jurucakap (Liason Person) mereka Jude Day, ketujuh pelajar ini sedang dalam proses membantu masyarakat Lotud di Kampung Selupoh di samping mengadakan pelbagai aktiviti untuk mengetahui budaya tempatan dan alam sekitar.

“Kami dapat tahu bahawa majoriti masyarakat Lotud adalah dari daerah Tuaran, maka kami memilih daerah Tuaran khasnya Kampung Selupoh sebagai destinasi utama,” jelas Jude.

Ditanya sebab memilih Lotud, katanya kerana mereka kagum dengan kaum Kadazan Dusun yang mempunyai sub-suku kaum yang pelbagai dan perbezaan unsur-unsur dari segi pakaian, bahasa, perayaan, makanan dan lain-lain dan salah satunya adalah Lotud.

“Kami sangat suka dengan budaya Lotud, terima kasih kepada keluarga Jilan dan masyarakat di daerah ini terutamanya kepada Persatuan Komulakan Lotud Sabah (KLOSA) yang banyak membantu kami,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Tamu Minggu Tuaran, Joungin Molondoi, 61 menyifatkan hari tersebut amat istimewa kerana daerah Tuaran mendapat kunjungan daripada pelajar luar negara.

“Masyarakat di sini (Tuaran) dan di Kampung Selupoh patut berbangga kerana terpilih sebagai destinasi para pelajar ini, saya turut berbangga,” ujarnya.

Mariamah Hassan, 43 tahun dari Kampung Kindu yang kebetulan lalu untuk membeli sireh agak terkejut apabila mendapati ‘orang putih’ memakai pakaian tradisi Lotud dan padanya itu jarang berlaku.

“Kehadiran mereka cukup istimewa sehingga tamu kita nampak berseri-seri,” katanya bersungguh-sungguh.

Pelajar-pelajar ini dilihat membantu para penduduk Kampung Selupoh menjual pelbagai hasil tanaman dan kuih-muih sambil memanggil pelanggan dengan sapaan ‘mari-mari, beli-beli’ yang nyata begitu mencuit hati masyarakat tempatan.

Sementara itu, wakil dari sebuah pusat kebudayaan Lotud terkenal Sabah Linangkit Cultural Village yang juga merupakan penganjur bersama program berkenaan Elvin Alrick Jilan, selain program pertukaran kebudayaan, kesemua pelajar ini sebenarnya terlibat dalam membantu membina sebuah pusat sumber untuk kegunaan pelajar sekolah rendah di Kg Selupoh.

“Gadis-gadis cantik ini akan membantu kita mencari sumber atau dana melalui organisasi yang boleh membantu menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang sesuai untuk pusat itu nanti,” katanya yang juga salah seorang pengurus di LCV.

LCV yang menjadi kebanggaan masyarakat Lotud di daerah Tuaran telah diilhamkan pembinaannya oleh keluarga Jilan dari Kampung Selupoh, Tuaran yang merupakan salah satu daripada kira-kira 25 perkampungan Lotud di situ.

Elvin menjelaskan, selain berpeluang melawat tempat-tempat menarik di Sabah seperti Taman Kinabalu, Kolam Air Panas Poring, Kundasang dan banyak lagi, kesemua pelajar berkenaan turut dijemput menghadiri majlis perkahwinan mengikut adat istiadat suku kaum Kadazan Dusun di sekitar Tuaran.

Menurut Elvin, kesemua tujuh pelajar yang kesemuanya wanita ini akan menganjurkan ‘hari terbuka’ pada 17 Februari di LCV di mana masyarakat setempat akan diberitahu mengenai kegunaan serta fungsi utamapusat sumber itu pada masa itu.

‘Hari Terbuka’ berkenaan dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman, Datuk Hajiji Hj Noor.-SIDANG RAKYAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan