Jumaat, 16 Disember 2011

SENJATA TERAKHIR BN.ANWAR DIPENJARA

Pada pilihan raya umum 1999, Dato Seri Anwar berada dalam penjara, tetapi hampir separuh sokongan orang Melayu beralih kepada parti pembangkang kerana simpati dengan nasib yang menimpa Anwar.

Terengganu berjaya ditawan parti pembangkang PAS disamping mempertahan Kelantan.

Tun Dr Mahahtir BN masih mendapat sokongan sebahagian besar pengundi Cina dan India kerana berjaya membawa Malaysia keluar dari krisis mata wang. BN masih mampu mendapat kemenangan dua pertiga

Bagaimanapun beberapa tokoh UMNO kecundang ditangan PAS atau PKR.

UMNO dan BN hanya menang tipis di negeri Selangor, Perak, Penang dan Kedah.

Menjelang PRU 2008, Anwar telah dibebaskan dari penjara tetapi masih belum layak bertanding. Sebelum PRU 2008, terdapat 5 by-election termasuk yang terakhir di Ijok, semua kelima-lima kawasan di menangi BN.

BN menghadapi PRU 2008 dengan keyakinan amat tinggi tetapi Pakatan Rakyat telah membuat kejutan dengan memperolehi 83 kerusi parlimen atau 46.75% popular votes. BN memperolehi 140 kerusi tetapi kehilangan majoriti dua pertiga dalam parlimen.

Negeri Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang berjaya ditawan PR disamping mempertahankan Kelantan. BN hanya menang dua kerusi di WP (tidak termasuk Labuan).

Walaupun tanpa Anwar, majoriti pengundi bukan Melayu telah memberi kemenangan kepada PAS, PKR dan DAP. 

Menjelang PRU13, berlaku 16 by-election. 8 dimenangi BN, 8 dimenangi PR. Sama kuat dan masing-masing bersedia bertempur untuk grand finale iaitu PRU13.

Melihat kekuatan PR daripada keputusan by election, kepimpinan BN terpaksa mempertimbangkan dua alternatif: Pertama membiarkan Anwar bebas. Kedua, masukkan Anwar semula dalam penjara.

Kepimpinan BN yang menganggap pilihanraya ini sebagai IBU kepada semua pilihan raya. BN mengambil risiko masukkan Anwar dalam penjara. Dengan harapan jika berlaku tunjuk perasaan dan rusuhan, darurat akan diumumkan dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain akan dipenjarakan bersama-sama Anwar.

Inilah proses demokrasi yang terbaik kepada BN. Lawannya masuk penjara sebelum mengadakan pilihan raya umum.

Andaikata, tidak berlaku rusuhan atau tunjuk perasaan, strategi kepimpinan UMNO ialah menarik semula sokongan pengundi Melayu.

Dengan menghalang Anwar bertanding, mereka berharap lebih mudah propaganda UMNO kepada orang Melayu mengatakan jika PR memerintah, orang Melayu tidak akan menjadi PM.

Pengundi Melayu yang mengharapkan Anwar menjadi PM akan kembali menyokong UMNO!

Masukkan Anwar dalam penjara adalah strategi terakhir BN untuk terus berkuasa di bumi Malaysia.

By:muslioli

8.3 JUTA RAKYAT MALAYSIA MISKIN MENJELANG 2020.ANWAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim 'memusnahkan' Program Transformasi Ekonomi (ETP) Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi dengan memberikan amaran, lebih daripada 8.3 juta rakyat Malaysia akan tergolong sebagai miskin menjelang 2020 jika ETP berterusan.

Anwar menyatakan bahawa tanggapan ETP bahawa pendapatan rakyat Malaysia akan berkembang pada 3.6 peratus dan inflasi akan berada pada tahap 2.8 peratus setahun untuk satu dekad akan datang (2010-2020) adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana berdasarkan statistik satu dekad yang lepas (2001-2010), pendapatan rakyat Malaysia hanyalah sekadar 2.6 peratus berdasarkan data Kementerian Sumber Manusia dan inflasi adalah jauh lebih tinggi, 4.4 peratus pada 2001-2005 dan 6.6 peratus pada 2005-2009.

“Jika pendapatan turut naik pada kadar 3.6 peratus setiap tahun seperti jangkaan ETP, menjelang 2020, masih terdapat 7.6 juta orang yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 setahun,” kata Anwar dalam satu ucapan di Westin Hotel semalam bertajuk ‘Debunking ETP: Widening Income Gap’.

Analisa tersebut, kata Anwar diperkuatkan lagi dengan data daripada National Employment Return Study 2009 (Penyelidikan Guna Tenaga Kebangsaan 2009) yang melibatkan sampel 24,000 pekerja dan 1.3 juta pekerja di mana ia mendapati sebanyak 33.8 peratus pekerja mendapat gaji di bawah RM700 sebulan.

“Jika ini diekstrapolasikan di peringkat nasional, ia menjangkakan 34 peratus tenaga kerja negara kita berada di bawah paras kemiskinan (RM700),” kata beliau.

ETP sebelum ini menjangkakan bahawa lebih daripada 2.8 juta rakyat Malaysia akan mempunyai pendapatan RM4,000 sebulan menjelang 2020. Namun, kata Anwar, semua angka di atas telah membongkar dakwaan Najib bahawa Malaysia bakal menikmati jumlah pendapatan kasar berkapita (GNI) RM48,000 setahun adalah palsu.

“Jika inflasi, sebagaimana yang kita lihat pada tahun-tahun kebelakangan yang lepas, bertambah lebih daripada 2.8 peratus untuk tahun-tahun akan datang, pendapatan akan berkurangan dan sasaran GNI RM48,000 setahun hanya sekadar angka penyeri di atas risalah ETP,” kata Anwar, yang juga bekas menteri kewangan.

Mengenai tahap kemiskinan negara yang masih berada di paras RM700, Anwar berkata angka tersebut adalah ketinggalan zaman kerana rakyat kini yang berpendapatan RM1,500 sebulan sudah menghadapi kesusahan hidup yang perit.

“Rakyat Malaysia inginkan pendapatan lebih tinggi. Tapi ETP memberikan mereka nilai ekonomi yang semakin kecil. Dalam analisis terakhir, ETP hanyalah satu unjuran kepada model ekonomi yang gagal dan dicemari rasuah dan budaya cepat kaya yang mengkayakan pemerintahan dengan mengorbankan majoriti,” kata Anwar.

Anwar turut menambah ETP hanya mengkayakan golongan yang sedia kaya dan keuntungan ekonomi hanya akan menguntungkan syarikat-syarikat di bawah ETP.

“Jadi, janji ETP membawa Malaysia ke negara berpendapatan tinggi adalah palsu,” tegas Anwar.

Khamis, 17 November 2011

JANGAN POTONG BANTUAN 100 RINGGIT

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada semua sekolah supaya tidak membuat sebarang pemotongan terhadap bayaran bantuan RM100 yang diberikan kerajaan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.


Timbalan Perdana Menteri berkata wang yang diperuntukkan pada Bajet 2012 itu perlu disalurkan kepada pelajar atau ibu bapa pelajar dalam jumlah yang penuh tanpa sebarang pemotongan.


“Saya nak nyatakan, ia seharusnya dilakukan. Nanti akan timbul salah faham sedangkan ia bukan kita (kementerian) yang lakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Generasi Muda anjuran Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.


Pada sesi dialog sebelum itu, seorang bapa yang anaknya belajar di sebuah sekolah di Setiawangsa di sini menyatakan kekesalan dan mendakwa anaknya hanya menerima RM50 atau separuh daripada wang bantuan, manakala sebahagian lagi dipotong untuk tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).


Sebanyak RM550 juta diperuntukkan kerajaan pada Bajet 2012 bagi bantuan kepada semua pelajar rendah dan menengah termasuk sekolah swasta. 
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pentadbir sekolah yang membuat pemotongan.


“Sekalipun pihak sekolah mahu membuat potongan, mereka perlu berbincang dengan PIBG dan wang RM100 itu perlu diserahkan semuanya tanpa sebarang potongan.


“Ini baru hujung tahun, belum lagi masuk awal tahun, saya harap sekolah yang terbabit menyerahkan semula wang yang sudah dipotong dan tidak ada lagi sekolah yang berbuat demikian,” katanya.


Beliau menegaskan, pembayaran bantuan itu adalah komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban hidup rakyat dan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.


Terdahulu, Muhyiddin mengadakan pertemuan tertutup pada program Perhimpunan Pergerakan Rangkaian Aktiviti Penyatuan Insan Peringkat Kebangsaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Melayu anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota di sini kira-kira dua jam.


Beliau kemudian menunaikan solat Zuhur berjemaah di Madrasah Islamiyah Taman Ibu Kota sebelum berangkat ke Setiawangsa.


Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata ibu bapa yang mempunyai kesulitan untuk menuntut wang bantuan persekolahan RM100 minggu ini masih dibenarkan mendapatkannya selepas tempoh itu.


Sambil menolak dakwaan kononnya wang itu akan dipulangkan kepada kerajaan jika ia tidak dituntut dalam minggu ini, beliau berkata, bantuan berkenaan akan tetap dikeluarkan pada masa lain termasuk ketika cuti sekolah, kerana ia adalah hak pelajar.


“Jika ibu bapa tak dapat tuntut minggu ini, mereka boleh tuntut daripada pihak sekolah selepas itu,” katanya meminta mana-mana pihak yang tidak mahu menerima bantuan itu pula memaklumkan kepada sekolah untuk memulangkannya.

Sabtu, 5 November 2011

Semua parti komponen BN perlu hormati KM



KOTA KINABALU: Ketua Umno Bahagian Beluran, Datuk James Ratib, berkata menggesa semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri menghormati Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman sebagai pemimpin negeri ini.

Katanya, beliau (Musa) adalah Ketua Meneteri dan pemimpin Negeri yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk menerajui kepimpinan kerajaan dan BN di negeri ini.

“Semua parti komponen BN wajar menghormati beliau(Musa) dan jangan sama sekali membuat kenyataan yang kurang sopan khususnay kepada Ketua Menteri kerana ini akan menjejaskan kekuatan BN sebagai satu keluarga yang besar di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Senator Datuk Chin Su Phin dan Ketua Wanita parti itu, Nancy Lim pada persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu yang dilaporkan menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, mengundurkan diri.

James yang juga Pengerusi BN Bahagian Beluaran berkata, adalah tidak wajar untuk menggambarkan kepada rakyat seolah-olah ada kepincangan dan pergeseran di kalangan parti-parti komponen BN khususnya di Sabah.

“Jika ada rasa tidak hati mengenai sesuatu perkara atau isu, ianya hendaklah disalurkan secara sopan berdasarkan saluran dan platform yang sedia ada,” tegasnya.

James berkata, hormat-menghormati adalah lebih baik daripada mengkritik secara terbuka rakan-rakan dalam BN yang boleh menyakiti hati orang lain.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak dalam BN supaya menghayati ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa merasmikan Perhimpunan Agung LDP pada Ahad lalu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN Pusat dalam ucapannya berkata, BN sentiasa mengambil langkah berhemah bagi memastikan sesuatu masalah yang timbul terutama melibatkan pergeseran di dalam diselesaikan segera.

Beliau menegaskan, setiap ahli komponen BN perlu mengelak daripada suka cakap belakang kerana sikap itu menjadi punca kepada kelemahan sesebuah parti.

Sementara itu, Umno Bahagian Kudat turut kecewa dan kesan dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh pemimpin LDP itu yang jelas melanggar semangat setia kawan dalam BN.

Ketuanya, Datuk Bolkiah Ismail berkata, pemimpin LDP khususnya Timbalan Presidennya, Senator Chin Su Phin telah berulang kali membuat gesaan itu dan ianya telah melukakan hati ahli-ahli Umno di negeri ini.

“Beliau (Musa) ada pemimpin Umno Sabah dan telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan negara, khususnya Perdana Menteri untuk memimpin kerajaan negeri dan BN di negeri ini, semua pihak dalam BN harus dan wajar menghormatinya,” katanya.

Menurutnya, pemimpin LDP itu harus membuka mata dengan lebih luas untuk melihat terhadap pencapaian cemerlang Musa dalam memimpin negeri ini termasuk rizab kewangan negeri yang kukuh dan juga pembangunan yang semakin pesat di seluruh negeri ini.

Ahad, 30 Oktober 2011

JANGAN CAKAP BELAKANG




SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) sentiasa meng- ambil langkah secara berhe- mah bagi memastikan sesuatu masalah yang timbul terutama melibatkan pergeseran di dalam parti itu diselesaikan segera.

Timbalan Perdana Men- teri, Tan Sri Muhyiddin Yas- sin, berkata BN tidak mahu ahli-ahli komponennya di setiap peringkat parti saling tidak tegur-menegur.

Ini kerana, katanya, sikap sebegini seolah-olah tidak ikhlas sedangkan mereka dituntut supaya bersatu hati serta boleh bekerjasama dalam satu pasukan demi kelangsungan parti yang selama ini memperjuangkan kepenting- an rakyat tanpa mengira bangsa mahu pun agama.

“Kalau ada pun masalah, kita akan selesai secara berhe- mah dan kita tidak mahu ada ahli yang suka cakap belakang … ini bukan prinsip perjuangan parti BN,” jelasnya semasa berucap menyempurna- kan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Liberal Demokratik (LDP) Kali Ke- 22 di Dewan Serbaguna Yu Yuan, Batu 4, Jalan Utara, di sini, kelmarin.

Beliau menegaskan setiap ahli komponen perlu mengelak suka cakap belakang kerana sikap sebegini menjadi punca kepada kelemahan se- sebuah parti.

‘Soal pokoknya, kita hendaklah memperkemaskan jentera parti dan mengenal pasti setiap kelemehan supaya menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan nanti, kita sudah bersedia sepenuhnya dan mampu mengembalikan kuasa yang ada.

“Saya telah melawat ban- yak tempat dan bersembang dengan segenap lapisan mas- yarakat, syukur alhamdulillah nampaknya rakyat semakin bertambah yakin dan percaya dengan kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Muhyiddin mengingatkan semua ahli komponen BN di Sabah memberi tumpuan ke- pada gerak kerja dan berusaha menarik perhatian rakyat bagi membolehkan kemenangan mutlak dapat dicapai.

Menurut beliau persiapan rapi termasuk juga memberi tumpuan untuk menarik lebih ramai pengundi muda.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Umno ini juga mena- sihatkan pemimpin komponen BN supaya tidak membangkitkan isu yang boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati kepada pemimpin lain.

Menurutnya, ia dilihat boleh menjejaskan kedudukan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Ujarnya, pemimpin BN boleh membuat teguran tetapi perlu dibuat secara bersopan bagi memastikan tidak pihak yang tersinggung atau berkecil hati.

“Semua pemimpin BN harus mengutamakan perpaduan kerana ia akan menambahkan lagi sokongan rakyat terhadap parti ini apabila menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13 yang dijangka lebih sengit berbanding pilihan raya umum pada 2008,” jelasnya.

Beliau berkata semangat saling membantu, tolong- menolong dan memahami tugas sebagai parti komponen adalah penting lebih-lebih lagi sekarang ini semakin dekat dengan pilihan raya umum.

Sebab itu, ujarnya, masa- lah antara parti harus diambil perhatian dan setiap tindakan harus menambah sokongan rakyat, bukan yang mengurang- kan sokongan kepada BN.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan dari 30 bahagian LDP seluruh negeri telah pun berlangsung sejak Sabtu dengan Perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Wanita LDP.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden LDP merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong.

Muhyiddin menambah bahawa dakyah parti pembangkang yang suka memutar belit fakta termasuk mendakwa Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini ditiru daripada Buku Jingga yang dikeluarkan mereka.

“Mereka suka memutar belitkan fakta dengan mengatakan bermacam-macam segala tohmahan. tiada satu yang kita buat dilihat baik dan memberi manfaat kepada rakyat. Hakikatnya, rakyat kini semakin memberi sokongan yang padu kepada BN berdasarkan reaksi mereka kepada parti ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mahu rakyat di negeri ini memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BN untuk membolehkan kemenangan besar dicapai pada pilihan raya umum nanti.

Ini katanya, tiada lagi parti terbaik melainkan hanya BN saja mampu memberi kestabilan politik sekali gus membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang mahupun fahaman masing-masing.

Khamis, 29 September 2011

BERSIH CABAR KERAJAAN MALAYSIA

Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri bahawa ia adalah sebuah pertubuhan tidak sah.


Hakim Datuk Rohana Yusuf (gambar kanan), yang membuat keputusan itu dalam kamar, membenarkan permohonan jawatankuasa pemandu gerakan tersebut bagi semakan kehakiman untuk membatalkan perintah berkenaan.


Awal Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan tidak sah atas alasan ia operasi tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan.


Sejumlah 14 anggota jawatankuasa pemandu pergerakan itu, termasuk Datuk S. Ambiga, kemudian mengemukakan permohonan bagi semakan kehakiman itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden pada 8 Julai.
Semua anggota jawatankuasa pergerakan tersebut, antara lain, memohon perintah bagi membatalkan pengisytiharan perintah oleh Datuk Seri Hishammuddin yang mengisytiharkan gerakan Bersih sebagai pertubuhan tidak sah dan memerintahkan pembatalannya berkuatkuasa serta merta.


Mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan.


Namun, Datuk Rohana menolak permohonan jawatankuasa itu bagi menghalang;

Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan para pegawai kerajaan daripada memasuki dan memeriksa premis mereka selain merampas sebarang harta milik Bersih 2.0.
Menolak permohanan bagi mengarahkan responden menyerahkan kemeja-T, kain rentang, surat khabar, buku, sepanduk dan sebarang dokumen atau objek milik mereka yang dirampas polis.


Menolak bantahan awal oleh Pejabat Peguam Negara bahawa pemohon tidak mempunyai hak dari segi undang-undang memulakan tindakan menentang kerajaan dan dua pihak lain.
Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili responden, berkata beliau akan mendapatkan arahan pihak atasan sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.


Mahkamah menetapkan 22 November untuk mendengar merit bagi semakan kehakiman.

Ahad, 18 September 2011

Surat terbuka untuk Najib

Dear Najib Razak (sila baca dengan loghat utara),


Mamu dengan rasa rendah diri menulis warkah ini untuk tatapan tuan Perdana Menteri, dan juga sebagai rekod bahawa apabila sejarah negara ini berdepan dengan perubahan, Mamu telah turut bersuara dan memberikan pandangan. Mamu berharap agar warkah yang tidak seberapa ini boleh diambil sebagai iktibar untuk kemaslahatan kita bersama.

Terlebih dahulu Mamu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya kepada tuan Perdana Menteri, memandangkan haritu Mamu tak berkelapangan nak pi makan briyani di Permatang Pauh. Hujan lebat, Mamu semput, tak tahan sejuk. Maka ucapan maaf zahir batin Mamu titipkan untuk Tuan Perdana Menteri, isteri tercinta dan anak-pinak sekalian. Semoga Tuhan menerima amal ibadat kita semua di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Najib, my dear;

Mamu telah menonton pengumuman besar yang telah dibuat pada malam ambang sambutan Hari Malaysia, yang telah disiarkan secara langsung di media arus perdana. Mulanya Mamu tak berapa berkenan nak tengok, memandangkan media arus perdana mempunyai reputasi yang agak buruk. Namun menyedari bahawa amanat daripada pihak Perdana Menteri perlu ditekuni, maka Mamu pun pi lah duduk depan televisyen, sambil-sambil mengadap twitter, menantikan analisa dan komen secara langsung oleh penduduk Twitterjaya.

Secara am, Mamu ingin mengucapkan tahniah seraya berkata, “Syabbashh mere betey!” sambil menepuk tengah belakang, kepada Tuan Perdana Menteri atas keberanian menongkah arus mengambil langkah berisiko tinggi untuk menyatakan apa yang telah dinyatakan dalam ucapan tersebut. Mamu melihat wajah Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri kelihatan begitu riang gembira. Mamu tumpang berbangga dengan keberanian yang telah dipertontonkan dengan mengenepikan sekalian juak-juak yang begitu lantang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri. Mamu sangat berharap untuk mendengar respon mereka yang dahulu begitu terkinja-kinja melaungkan slogan pro ISA, dan melabel pakatan pembangkang sebagai pengkhianat dan punya agenda menjual negara. Tidak dilupakan juga label komunis dan sosialis yang diberikan kepada mereka yang berjuang untuk memansuhkan ISA sejak dulu.

Tuan Perdana Menteri,

Akta Keselamatan Dalam Negeri sudah berusia 51 tahun sejak 1 Ogos 1960. ISA telah digunakan secara meluas untuk menutup mulut sekalian ahli politik yang bersilang arah dengan ideologi dan kebijakan kerajaan sekian lama. Kita tidak lupa Ops Lalang 1987 yang telah menyaksikan ratusan ahli politik ditahan tanpa bicara hanya kerana melontarkan ide politik yang berbeza selera dengan kerajaan. 

Kita juga telah melihat dan membaca tulisan mereka yang ditahan di Kamunting, perihal penyeksaan dan pelanggaran hak asasi manusia yang telah diterima. Mamu masih ingat tulisan Dr Syed Husin Ali di dalam bukunya 'Dua Wajah' tentang penderaan yang (didakwa) dilakukan terhadap para tahanan. Kecut perut Mamu apabila membaca cerita tersebut. Itu belum lagi mengambil kira kisah Malik Husin yang ditahan ISA sewaktu Reformasi 1998. Bagaimana kemaluannya (didakwa) ditusuk dengan dawai besi. Trauma beliau berbulan, apabila terdengar bunyi gemerincing jambak kunci.

Justeru, Mamu yakin bahawa Tuan Perdana Menteri juga setuju bahawa ISA adalah akta zalim, yang telah digunakan untuk menutup mulut dan mengurung mereka yang berani bertingkah dengan ego kerajaan tanpa perlu melalui lunas undang-undang normal, seperti yang termaktub dalam Perkara 5, Perlembagaan Persekutuan.



Begitu juga halnya dengan Ordinan Darurat, yang tanpa pengetahuan ramai, masih lagi terpakai sehingga ke hari ini. Paling kelakar, Ordinan ini turut digunakan untuk menangkap dan mengurung mereka yang mencuri motorsikal atau paling tidak disyaki mencuri motorsikal. Kemudian dari itu boleh pula diperas ugut keluarganya agar membayar sejumlah wang sebelum dibebaskan anak remaja yang ditahan tanpa bicara itu. 

Mamu agak-agak, benda yang dipanggil Ordinan Darurat ini, digunakan khas untuk mengawal aktiviti subversif gerila komunis, di zaman Darurat 1948; yang sehingga hari ini ramai juga tidak tahu kenapa ia disebut 'Darurat' menentang komunis, dan bukannya 'Perang' terhadap komunis. Barangkali pihak insuran tidak akan membayar pampasan untuk sebarang kerugian dalam pelaburan pihak British pada waktu itu, kalau Malaya diisytihar kawasan perang. Mungkinlah. Mamu mana lah tau.

Justeru, Mamu menyambut baik cadangan pihak Tuan Perdana Menteri untuk memansuhkan perkara-perkara drakonian ini, yang telah sekian lama diperjuangkan oleh badan-badan seperti SUARAM, Gerakan Mansuhkan ISA dan juga pihak-pihak dalam parti-parti pembangkang. Nyatanya, UMNO selama ini, tidak pernah pun kedengaran sebarang usaha atau niat untuk memansuhkan ISA. Apatah lagi untuk membatalkan perisytiharan darurat. UMNO, pada pandangan Mamu, pastilah suka bila ia mempunyai suatu aparat atau alat untuk mengurung pihak lawan yang berani menentang tanpa perlu pun diseret mereka itu ke muka pengadilan.

Maka tahniah untuk Perdana Menteri kerana berani melanggar adat, dan mendengar suara rakyat, serta tunduk patuh kepada kehendak hati nurani rakyat yang telah sekian lama berteriak dengan air mata darah memohon serta merayu supaya akta-akta drakonian ini dimansuhkan, dan orang tersayang yang terkurung di Kamunting dibebaskan. Terima kasih banyak kerana memberi harapan baru dan rasa menang di hati sekalian pejuang hak asasi manusia.

Namun begitu, Mamu sedikit kecil hati kerana Tuan Perdana Menteri tidak sekali pun menyebut atau memberi kredit kepada mereka yang selama ini berhempas pulas menuntut keadilan ditegakkan dan akta zalim ISA ditongsampahkan. Mungkin Perdana Menteri berasa bahawa hati nurani sendirilah yang memujuk agar undang-undang ini dihapuskan. Mungkin Perdana Menteri segan untuk mengakui bahawa tindakan dan cadangan untuk memansuh ISA ini adalah hasil daripada tekanan dan desakan rakyat jelata yang telah turun ke jalan raya dan mendesak perubahan. Mungkin Perdana Menteri tidak ingin mengulangi episod malam 8 Mac 2008, ketika Barisan Nasional terpana dan terdiam dengan tindakan rakyat menafikan dua pertiga dewan, dan memberikan kemenangan kepada pakatan pembangkang di lima buah negeri.

Ayuhai Perdana Menteri,

Mamu melihat gelagat Tuan Perdana Menteri berucap dengan penuh tekun. Dari warna tali leher, sehingga postur badan pun, Mamu ambil kira untuk menyukat keikhlasan dan kejujuran yang cuba dipertontonkan kepada khalayak umum. Satu perkara yang harus disebut ialah, teleprompter itu sedikit tinggi, dan Najib telah tidak berjaya menggunakan benda alah itu dengan penuh gaya. Hanya Tun Mahathir sahaja setakat ini yang berjaya menggunakan benda itu dengan bergaya seolah-olah beliau tidak langsung membaca teks.

Tuan Perdana Menteri kelihatan begitu kekok dan tertekan. Bahasa badan yang dipertunjukkan memperlihatkan bahawa ayat-ayat yang diucapkan tidak langsung di'raptai' mahupun ditulis sendiri secara ikhlas. Mamu paham, Najib sibuk. Pastilah ada tukang tulis yang membuat kaji selidik tentang maqasid syariah segala, untuk dimuatkan ke dalam ucapan itu. Gaya dan bahasa badan yang begitu kekok dan kaku, telah gagal menarik minat Mamu untuk percaya atau menaruh harapan tinggi kepada isi kandungan ucapan Perdana Menteri. 
Dan kemudian, tali leher itu. Kenapalah warna jingga yang dipilih? Mungkin ini terlalu remeh, tetapi memandangkan pihak pakatan pembangkang telah terlebih dahulu mengumumkan kempen Buku Jingga mereka yang antara lain mengandungi agenda memansuhkan ISA dan undang-undang tahan tanpa bicara; maka pemilihan warna tali leher agak lucu dan seakan ironik. Sama keadaannya seperti Ratu Elizabeth memakai baju kuning tatkala menyambut Tuan Perdana Menteri ketika musim perhimpunan Bersih 2.0. Ya, kami telah menonton video dan gambar tragedi tersebut. Wajah Ratu Elizabeth begitu sarkastik. Seolah-oleh mengulang sorak teriak mat saleh di Downing Street, 'Kuning, kuning; Najib pening'. 

Walaubagaimanapun, Mamu tetap positif dengan pengumuman yang telah dibuat. Walaupun Mamu turut sedar bahawa ucapan tersebut mempunyai beberapa kaveat atau ayat-ayat manis yang mungkin tidak dapat ditangkap dengan sekali dengar. Maka kelihatanlah di garis masa Twitterjaya, beberapa komen yang membuatkan Mamu geli hati, rupa-rupanya ada udang di sebalik kuey tiaw.

Pengumuman Tuan Perdana Menteri antara lain menyebut tentang niat untuk mengusulkan di Parlimen agar ISA dimansuhkan, namun tidak berapa dapat ditangkap niat untuk memperkenalkan undang-undang baru yang masih lagi bersifat preventif. Sekali dengar, bunyi macam esok juga Kamunting itu tutup, dan tahanannya lepas bebas begitu sahaja. Hakikatnya jauh berbeza. Prosedur untuk memansuhkan undang-undang tersebut akan tetap mengambil masa untuk dibentangkan pula alternatifnya, yang masih lagi belum nampak bayang rupa mahupun konsepnya. Sebelum ISA mahu dimansuh, penggantinya harus digubal dahulu. Maka ISA mansuh dengan peng'gazet'an undang-undang baru. Bukankah begitu?

Itu belum lagi mengambil kira kesan sosial yang telah diakibatkan oleh ISA terhadap masyarakat khususnya bekas tahanan. Mamu menanti di sepanjang ucapan, kalau-kalau ada ucap minta maaf kepada mereka yang telah dizalimi akta itu. Kalau-kalau tahanan politik seperti enam orang ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditangkap bawah Ordinan Darurat tempoh hari akan menerima sejambak bunga, bakul berisi kuih muih dan sekeping kad dengan gambar anak kucing comel menyatakan permohonan maaf dari kerajaan Malaysia kerana menjadikan mereka mangsa undang-undang yang melanggar hak asasi. Pegawai-pegawai imigresen yang tempoh hari begitu gembira memuji ISA juga pastilah akan berasa sedih dengan langkah Tuan Perdana Menteri. Mereka juga wajar menerima bakul hadiah atas tindakan yang telah diambil terhadap mereka.

Perdana Menteri yang saya sayangi,

Mamu melihat, ucapan tersebut sebagai ucapan 'public-relations'. Tidak ada sebarang kesan legislatif atau undang-undang yang lahir daripada ucapan tersebut. Sekadar menabur janji politik sepertimana yang biasa dilakukan oleh sekalian ahli politik yang biasanya akan berusaha sedaya upaya untuk kekal berkuasa. Mamu amat memahami keadaan politik Tuan Perdana Menteri sehingga sanggup berucap sedemikian di saat banyak perkara di Malaysia ini dilihat bermasalah.

Malang bagi Perdana Menteri, rakyat tidak muda lupa dengan masalah-masalah yang melanda negara ini. Bahkan, pada tengah malam 16 September 2011, sebuah video nasihat awam telah dilancarkan yang menyeru rakyat supaya mengundi, membuat pilihan bijak, demi mengubati negara yang sedang dilanda masalah. Ucaptamanya dibacakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau sendiri menyebut bahawa negara kita punyai banyak masalah. Rakyat tidak boleh dan tidak akan lupa akan masalah-masalah ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya yang begitu hebat, tidak menyentuh masalah-masalah yang menular di kalangan hamba rakyat, marhaen lagi terpinggir. Rakyat barangkali berharap, sepertimana Mamu juga turut berharap, bahawa akan ada pengumuman dari pihak Perdana Menteri tentang masalah-masalah kami itu yang sering dipaparkan oleh media alternatif. 
Antara perkara-perkara yang tidak disentuh atau mungkin bakal disentuh ialah, sistem elektoral, daftar plilihanraya yang kotor, korupsi dan integriti, komisyen Scorpene di mahkamah Perancis, skandal Altantuya, harga barang, subsidi petrol, subsidi gula, GST, cukai prepaid 6%, Akta Universiti dan Kolej Universiti, politik perkauman, politik ketakutan, ekstremis kaum, defisit belanjawan, bebanan tol, gaji minima, gaji munasabah, pengundi warga asing, hak berhimpun tanpa diganasi pihak polis, salah laku polis, keganasan polis, rasuah polis, isu murtad, isu kesedaran agama, akhlak terpuji, sekularisme di masjid-masjid, pentadbiran wang zakat, skandal PKFZ, undi pos tentera, penipuan dan rasuah pilihanraya, pengundi hantu, bil elektrik rumah Perdana Menteri, bil air rumah Perdana Menteri yang seakan punya akuarium buat bela ikan paus, PPSMI, isu Malaya tidak pernah dijajah dan beberapa lagi isu yang masih lagi tidak terjawab mahupun dapat diselesaikan dengan sekadar menyebut niat untuk memansuhkan beberapa akta drakonian.

Perdana Menteri,

Rakyat tidak mudah lupa. Namun terima kasihlah untuk usaha murni yang cuba ditunjukkan untuk memenangi hati rakyat.

Rakyat berharap ada tindakan tangkas dari pihak Perdana Menteri untuk melakukan cabinet reshuffle memandangkan dinosaur-dinosaur yang ada sekarang tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru ini nanti. Mungkin Dato Saifuddin Abdullah seorang sahaja yang mampu bertahan dan tersenyum.

Sebelum Mamu mengakhiri warkah ini, izinkan Mamu berpesan sedikit kepada Tuan Perdana Menteri, seperti mana Hosni Mubarak pernah dinasihati oleh Sheikh Al-Sha'rawi suatu ketika dahulu. Videonya boleh di'acces' di Youtube. Beliau berpesan bahawa kekuasaan itu berada di tangan Allah, dan Dia beri kepada siapa sahaja yang Dia mahu. Maka janganlah berkejar kearahnya, dan janganlah berkonspirasi jahat demi mencapainya. Di zaman Nabi Ibrahim, Raja Namrud juga diberikan kuasa oleh Allah, seperti yang termaktub di dalam Al-Quran. Manusia merancang, Allah juga merancang. Maka pada ketikanya Tuan Perdana Menteri menguasi kami, moga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada tuan. Namun apabila ketikanya kami menguasi Tuan, moga Allah membantu Tuan dalam menghadapi kami.

Kirim salam kepada sekalian ahli keluarga, moga mereka semua sihat sejahtera.

Tiadalah lagi yang mampu dilakukan selain berpesan-pesan kepada kebaikan.